RTM : SANA SINI...

UJI BAKAT : Rentak Juara 2010...Julang Jati Diri
Tarikh :
16 - 17 Januari 2010 (Sabtu & Ahad)
Masa :
9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat :
RTM Miri, Sarawak
RTM Sibu, Sarawak

TEMURAMAH RADIO : Radio Malaysia Klasik Nasional
Tarikh :
18 Januari 2010 (Isnin)

Masa :
8.30 pagi

Tetamu :
YB Datuk Joseph Salang
Tim. Menteri Penerangan Komunikasi & Kebudayaan

BERMINAT MENJADI PENONTON KAMI:

Jika anda mewakili (persatuan, perkumpulan, pertubuhan,NGO) dan berminat menjadi penonton kepada program-program bual bicara terbitan RTM, sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat RTM atau menghantarkan surat kepada;

Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat

Jabatan Penyiaran Malaysia
Tingkat 2, Wisma TV
Angkasapuri,
50614 Kuala Lumpur.


Tel: 03-2288 7200
Faks: 03-2282 5103 / 2288 7088

Untuk mengetahui rancangan pilihan anda, layari www.rtm.gov.my

Khamis, 14 Januari 2010

DEBARAN SIAPAKAH JUARA HITS 1 AKHIR (MUSIM 6)...APRIL INI











Penentuan siapakah yang bakal dinobatkan Juara Pertandingan Akhir Hits 1 Musim Ke-6 bakal diketahui April nanti.

Masih mengekalkan khidmat juri profesional dalam menentukan lagu manakah yang layak diiktiraf sebagai juara, sepuluh buah lagu yang bakal dipertandingkan adalah Azharina (Rawan), Misha Omar (Cinta Adam & Hawa), Grey Sky Morning (Cinta Gila), Alyah (Tak Mungkin Kerana Sayang), Tomok (Rindu Terhenti), Faizal Tahir (Bencinta), Stacy (Pakai Buang), 6ixth Sense (Khatimah Cinta), Ella (Puisi Hamba) dan Stacy & Adam (Menggegar Dunia).

Lagu-lagu tersenarai mempertaruhkan ciptaan pengubah dan penulis lirik terkenal tanah air antaranya Azmeer dan Allahyarham Loloq (Cinta Adam & Hawa), Ajai dan Habsah Hassan (Tak Mungkin Kerana Sayang), Aubrey Suwito dan Tinta S (Rindu Terhenti), Hazami (Rawan), Azmeer dan Edry Abdul Halim (Pakai Buang dan Menggegar Dunia), Faizal Tahir dan Audi Mok (Bencinta), Amir (Puisi Hamba) dan juga lagu ciptaan sepenuhnya daripada ahli kumpulan masing-masing bagi lagu Cinta Gila oleh Grey Sky Morning dan Khatimah Cinta oleh 6ixth Sense.

Hits 1 nyata masih unggul bertahan di hati peminat muzik hingga ia terbukti kekal memeriahkan industri hiburan tanah air apabila kini telah bersiaran di musim ke-7. Bermula pada tahun 2003, Hits 1 terus mendapat perhatian dan mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Masih mempertandingkankan klip video pada program mingguan, pencalonan yang diterima daripada artis-artis popular tanah air amat memberangsangkan pada setiap musim.

Buktinya dilihat pada senarai juara-juara hits 1 musim-musim lalu iaitu Misha Omar (Pulangkan) dimusim pertama, musim kedua Jaclyn Victor (Gemilang) musim seterusnya Yazer & Felix mewakili M.Nasir & Mawi (Lagu Jiwa Lagu Cinta), Adibah Noor (Terlalu Istimewa) pada musim keempat, Ramlah Ram (Ketentuan) dan musim lalu Meet Uncle Hussin (Lagu Untukmu) bergelar juara sekaligus menjulang trofi Juara Hits 1 untuk mengangkat martabat pelbagai genre muzik tanah air yang diwakili.

Menampilkan dua pengacara muda E’one dan Nabila Huda, rancangan mingguan Hits 1 musim ke tujuh mengambil pendekatan yang berbeza di setiap musim. Musim ini Hits 1 menjelajah siarannya ke beberapa tempat di seluruh negara bagi bertemu peminat-peminat dengan lebih dekat pada setiap hari Sabtu, jam 3.00 petang di TV2. Penjelajahan bermula di minggu pengenalan pada 4 April 2009, menyaksikan Hits 1 telah bersiaran langsung di Stesen Sentral Kuala Lumpur bersama artis jemputan Misha Omar dan Kumpulan 6ixth Sense.

Sambutan luar biasa daripada peminat Hits 1 telah membawa program ini bersiaran langsung ke destinasi lain antaranya Sunway Lagoon, Menara Kuala Lumpur, Plaza Alam Sentral, Pasar Seni, Dataran Teluk Kemang, Teluk Batik Perak, Terminal 1 Seremban, Dataran Pahlawan Melaka dan beberapa lagi tempat menarik di seluruh negara.

Konsep rancangan keseluruhan dikekalkan daripada Musim Pertama hingga kini dan hanya format carta diubah dari segi pengundian iaitu pengundi diberi tempoh mengundi yang lebih panjang (4 minggu) agar penonton berpeluang mengundi lebih ramai artis pujaan mereka dan menentukan siapakah yang benar-benar layak untuk ke peringkat akhir.

Jangan lupa untuk menyaksikan debaran acara gemilang Siaran Langsung Hits 1 Akhir terbitan Radio Televisyen Malaysia pada penghujung Februari ini. Untuk mendapat maklumat lanjut berkenaan lokasi mingguan Hits 1, senarai artis-artis bertanding serta info carta, sila layari laman sesawang Hits 1 di www.hits1.com.my atau menghantar maklum balas di facebook HITS 1 RTM.

PROGRAM MENARIK 2010 : DOKUMENTARI TV "SYAHADAH" MUSIM KE-6

Dokumentari Syahadah yang telah memulakan siarannya sejak tahun 2005 dan telah menjadi rancangan tunggak kepada RTM setiap bulan Ramadan. Memberi penekanan kepada perkembangan dan pembangunan negara dan umat Islam di serata pelusuk dunia, rancangan ini diterbitkan menggunakan dwibahasa iaitu Bahasa Malaysia (TV1) dan Bahasa Inggeris (TV2). Rancangan ini telah berjaya memikat tumpuan penonton dan telah memaparkan realiti kehidupan komuniti muslim di negara-negara Balkan dan Eropah serta negara bekas jajahan Soviet Union di Asia Tengah.

Bagi musim ke enam, program ini bakal menyusuri khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat Terengganu yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah kategori ”Daftar Memori Antarabangsa”. Sebagai penghargaan kepada pengiktirafan yang membanggakan ini, Syahadah musim ke enam akan membawakan 30 episod meneliti rentetan sejarah kedatangan Islam di Alam Melayu dan kesannya kepada pembangunan moden.

Dokumentari TV ini memperlihatkan kerjasama erat antara agensi dan jabatan di bawah Kementerian Penerangan Komnikasi dan Kebudayaan Malaysia bagi merealisasikan hasrat penerbitan rancangan. Format Dokumentari Kembara (Travellodge Documentary), diterbitkan secara bersiri sebanyak 30 episod dengan jangkamasa 30 minit setiap episod. Tarikh siaran bermula 1 Ramadhan 1431 hijrah.

Objektifnya bagi menyumbang usaha memfilemkan sejarah penting negara untuk tatapan 27 juta rakyat Malaysia. Dokumentari ini akan meneliti susur galur kedatangan Islam ke Malaysia dan perkembangan Islam terkini. Selain itu bagi menyemai semangat cintakan khazanah warisan negara dan memupuk semangat jatidiri di kalangan rakyat Malaysia.

Lokasi yang telah dipilih adalah Malaysia (Terengganu, Kedah dan Melaka), Indonesia (Sumatera dan Kepulauan Jawa), China (Wilayah Yunan), India (Kerala [malabar] dan Gujerat) dan Kemboja.

Pengisian termasuklah pengenalan dan sejarah lokasi, warisan sejarah Islam yang berkaitan, perkara melibatkan Islam masa kini sebagai refleksi kepada kemunculan dan penyebaran agama Islam di kawasan berkenaan (sosial, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya).

Program Syahadah musim ke enam diterbitkan dengan kerjasama diberikan oleh Jabatan Muzium, Jabatan Warisan, Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan kebudayaan & Kesenian Negara, Perbadanan Kraftangan Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara.

Jumaat, 8 Januari 2010

"SUKA KEPADA KERJA... IKUT MAJORITI... TURUN PADANG..."

ANGKASAPURI : 08 Januari 2010

Pesanan YB Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian yang pertama bagi tahun 2010, jelas mempunyai mesejnya yang tersendiri... Perhimpunan yang berlangsung di Angkasapuri; memberikan satu anjakan baharu kepada hala tuju dan masa depan Kementerian ini untuk tahun 2010 bagi mendekati rakyat menerusi penerapan Gagasan 1Malaysia...

Bermula di peringkat pelaksana; iaitu pegawai kanan dan kakitangan Kementerian sehinggalah kepada 18 Jabatan dan agensi dibawahnya... nasihat beliau agar segala apa yang dilakukan atas erti kata "kerja" perlu dilakukan dengan sepenuh ikhlas, komitmen dan yang paling penting "suka kepada kerja" yang dilakukan... Memang betul apa yang diperkatakan oleh YB Menteri kerana setiap perkara atau kerja yang dibuat memerlukan minat serta kesungguhan dan tidak hanya sekadar melepaskan batuk di tangga... Kalau kerja dibuat tanpa ikhlas, minat dan kesungguhan (suka), tentu hasilkan... anda sendiri boleh menilai...

Menyentuh pandangan mengenai "ikut majoriti" jelas sekali YB Menteri mahukan setiap keputusan, pandangan dan tindakan sama ada di peringkat Kementerian mahupun jabatan dan agensi; perlu dibuat dengan tepat dan mengikut suara ramai atau majoriti... Suara majoriti ini penting bukan sahaja ketika pilihanraya untuk menentukan calon mana yang layak sebagai wakil rakyat, malah di Parlimen ketika sidang Dewan Rakyat atau Dewan Negara; atau paling kecil skopnya ketika mesyuarat-mesyuarat, "ikut majoriti" merupakan pilihan terbaik yang sudah diamalkan sejak dahulu lagi... Majlis Syura (perundingan musyawarah) yang diperkenalkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W ketika mentadbir Madinah adalah langkah terbaik bagi memperoleh sesuatu keputusan... Apatah lagi di negara kita yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan berpegang kepada ajaran agama serta kepercayaan masing-masing, tanpa musyawarah tentu merumitkan... Apa-apa pun, semua yang terbaik adalah daripada keputusan bersama...

Dalam mempergiat penerapan Gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, YB Menteri mahu semua pegawai jabatan dan agensi di bawah kementeriannya turun padang bagi menghebahkan konsep 1Malaysia kepada masyarakat... Hebahan mengenai Gagasan 1Malaysia perlu dibawa ke kawasan luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan berkenaan mengetahui serta menghayati konsep tersebut... Dalam erti kata lain; setiap pegawai yang terlibat juga perlu membabitkan semua bangsa dalam menggerakkan perpaduan kaum di negara ini... Pada masa sama, pegawai dan warga jabatan serta agensi di bawah kementerian juga perlu memiliki perasaan harmoni di antara satu sama lain...

Memang besar harapan YB Menteri sepanjang tahun 2010, bagi memastikan kementerian yang diterajuinya ini berupaya membawa impak dan pembaharuan kepada rakyat dalam memastikan perpaduan dan keharmonian terus dipupuk, dijaga dan dipelihara...

( rtmkorporat.blogspot.com )

Khamis, 7 Januari 2010

RENTAK JUARA BERTANDANG KE SANDAKAN DAN KOTA KINABALU...

KUALA LUMPUR : 7 Januari 2010

Siri penjelajahan uji bakat program Rentak Juara 2010 : Julang Jati Diri iaitu sebuah program pencarian kumpulan muzik terbaik sama ada profesional mahupun amatur kini sudah pun bermula ke seluruh negara...

Lokasi pertama pada 9 - 10 Januari 2010 (Sabtu dan Ahad) ini di Dewan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sandakan, Sabah dan satu lagi lokasi di RTM Kota Kinabalu, Sabah. Ini bermakna, Rentak Juara yang memasuki musim keempat penganjurannya pada tahun ini membuka tirainya di Negeri Di Bawah Bayu yang sememangnya banyak melahirkan bakat-bakat muda dan segar sama ada dalam bidang nyanyian mahupun kumpulan muzik... Dan mungkinkah JUARA musim ini, datangnya daripada kumpulan yang berasal dari Sandakan ataupun Kota Kinabalu... Walaupun dalam apa-apa juga pertandingan, semuanya bergantung kepada rezeki dan nasib... Bagaimanapun, RTM tetap mengutamakan kualiti dalam setiap pertandingan yang dianjurkan.. baik dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu mahupun pertandingan yang melibatkan kumpulan muzik...

Kepada yang berminat, selamat berjuang dan selamat menyertai program ini dan temui kami di tempat-tempat anda... Sebarang makluman lanjut, layari laman sesawang Rentak Juara 2010 di www.rentakjuara.com.my


( rtmkorporat.blogspot.com )

Ahad, 3 Januari 2010

SORAKAN GEMA CAHAYA : SUKAN TERBAIK HANYA DI RTM

KUALA LUMPUR : 2 Januari 2010
Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak putus-putus menyajikan yang terbaik kepada penontonnya bukan sahaja di kawasan bandar malah segenap pelusuk kampung atau desa sejak stesen penyiaran ini menerobos ke kaca televisyen lebih 63 tahun yang lalu...

Acara sukan khususnya, sering menjadi pilihan peminat sukan tempatan untuk mendapatkan yang terbaik menerusi RTM... Menjelang 2010, stesen penyiaran ini menjanjikan liputan sukan dalam dan luar negara yang lebih menyeluruh sepanjang tahun ini... Sudah pasti, SUKAN TERBAIK HANYA DI RTM...

Untuk itu, persembahan SORAKAN GEMA CAHAYA yang menggabungkan kesan khas bunyi dan lampu dengan iringan gendang 1Malaysia menterjemahkan hasrat RTM kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai perjanjian mereka untuk menantikan sesuatu yang ditunggu-tunggu nanti... Antaranya, Piala Dunia FIFA 2010, Piala Thomas, SUKMA Melaka dan banyak lagi acara sukan dalam dan luar negara yang akan berlangsung sepanjang 2010...

Disiarkan secara langsung menerusi TV1 bermula jam 9.00 malam, majlis dimulakan dengan penampilan istimewa Ikon Sukan RTM; Haji Hasbullah Awang dan Hafizal Hamad selaku pengemudi majlis... Lebih menyerikan apabila Yang Berhormat Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dan YBhg Datin Seri Maznah Rais hadir menyaksikan persembahan tersebut...

Sorakan dan pekikan peminat serta orang ramai kedengaran di sekitar Dataran Merdeka apabila kelibat keseluruhan pemain dan jurulatih Pasukan Bawah 23 Tahun Kebangsaan memasuki pentas untuk menyambut ketibaan YB Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan... Simbolik kepada majlis ini adalah penghargaan RTM atas kejayaan pasukan berkenaan yang menjulang emas pada Temasya Sukan SEA di Laos yang lalu...

Menjadi tumpuan lensa kamera apabila Ketua Pasukan Kebangsaan; Aidil Zakuan menyerahkan bola yang ditandatangani kesemua pemain kepada ketua pasukan cilik program Sentuhan Pertama... Jurulatih Kebangsaan pula, K.Rajagopal turut menyerahkan bola yang turut ditandatangani pemain kepada YB Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan... Sebagai balasan, RTM memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan dengan sijil perhargaan khas... Demikianlah kemeriahan Sorakan Gema Cahaya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam 2 Januari 2010...



Antara aksi kerlipan cahaya yang menghiasi Dataran Merdeka sempena Sorakan Gema Cahaya yang menterjemah Sukan Hanya Yang Terbaik di RTM...


Ketua Pengarah Penyiaran; YBhg Datuk Ibrahim Yahaya (kanan sekali) bersama-sama sebahagian pemain Pasukan Bawah 23 Tahun Kebangsaan menikmati jamuan ringan...



Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat RTM; Puan Che Rohana Che Omar dan Penyelaras Program; Encik Mohd Shahri Saripan tidak ketinggalan merakamkan gambar dengan Ketua Pasukan Bawah 23 Tahun Kebangsaan; Aidil Zakuan yang hadir pada Sorakan Gema Cahaya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur...

( rtmkorporat.blogspot.com )

Sabtu, 2 Januari 2010

GEGAR GENERASIKU : DATARAN MERDEKA, KL

KUALA LUMPUR: 1 - 2 Januari 2010
Tirai pembukaan Tahun Baharu 2010 diserikan dengan penganjuran program Gegar Generasiku oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usahanya untuk mendekati golongan muda khususnya remaja. Pelbagai pengisian program menarik diatur bagi memastikan ia dapat menarik minat dan perhatian golongan sasar tersebut.

Selain pameran mendekati golongan remaja oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Gegar Generasiku kali ini turut disertai agensi daripada kementerian-kementerian lain seperti Rakan Muda daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak swasta yang terlibat dalam industri automobil dan motorsikal.

Program selama 2 hari yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan khususnya golongan remaja kerana mereka bukan sahaja ditawarkan dengan pelbagai pengisian maklumat dan aktiviti daripada agensi-agensi kerajaan malah dapat menglibatkan diri dalam aktiviti seperti pertandingan futsal, cyber zone, pertandingan tarian shuffle, pertandingan band indie, pertunjukan kereta dan motorsikal lasak dan banyak lagi.

Majlis pelancaran dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YBhg Datuk Wira Kamaruddin Siaraf.... Program seterusnya akan menemui remaja di Johor Bahru pada bulan Mac nanti.


Barisan motorsikal pelbagai kuasa yang dipamerkan pada Gegar Generasiku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur...


Antara tarikan kepada remaja yang meminati motorsikal berkuasa tinggi...


Turut dimeriahkan pertandingan air brush bagi kategori motorsikal...


Kemeriahan aktiviti yang dianjurkan mencuri tumpuan setiap pengunjung yang hadir terutama golongan remaja...


Pelbagai lapisan masyarakat tidak putus-putus menyaksikan pelbagai aktiviti yang dianjurkan...


Kumpulan remaja ini tidak melepaskan peluang menyaksikan pelbagai pameran dan pertunjukkan yang dianjurkan dan ia menepati kumpulan sasar yang dikehendaki...


Pelancongan asing juga tidak melepaskan peluang menyaksikan Gegar Generasiku dan begitu gembira kerana kunjungan mereka ke Malaysia khususnya Kuala Lumpur menjadi lebih bermakna kerana dapat menyaksikan pelbagai aktiviti yang disediakan...


Konsep niaga ala up-town tentunya mencuri tumpuan golongan remaja masa kini...



Antara aksi peserta pertandingan tarian shuffle yang paling mendapat penyertaan menggalakkan...


Satu lagi tarikan kepada golongan remaja iaitu pertandingan futsal....


Bagi remaja yang meminati cyber zone, disinilah tempat mereka...


Aktiviti di ruang pameran Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan...


Curi tumpuan di ruang pameran DR. MOTO... Orang ramai boleh memilih topi kaledar yang sesuai dengan saiz badan masing-masing... Memang menarik...



Kunjungan tidak lengkap bagi peminat aksesori kereta dan motorsikal untuk mencari pilihan hati jika tidak berkunjung ke ruang pameran ini...


Pameran : Polis Diraja Malaysia (PDRM)


Pameran : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)


Pameran dan Pendaftaran : Kelab Sahabat 1Malaysia oleh Mrewards


Pameran : Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS)



Demonstrasi batik Gegar Generasiku oleh Institut Kraftangan Malaysia


Kerja-kerja penjilidan bahan oleh Arkib Negara Malaysia


Pameran : Jabatan Muzium Malaysia


Pengunjung turut berpeluang menyaksikan tayangan pementasan seperti berada di dalam Panggung Sari, Istana Budaya...


Kain rentang tandatangan 1Malaysia menjadi tumpuan remaja bagi menyokong gagasan yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri...


Pameran : Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM)


DJ Mimie daripada KLfm yang bertugas di ruang pemeran RTM...


Lintas langsung berita setiap jam memberikan liputan mutahir mengenai Gegar Generasiku dari Dataran Merdeka...


Tulang belakang Gegar Generasiku daripada Bahagian Komunikasi Korporat RTM : satu dari kiri; Encik Mohd Roffe Mohamad (Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi RTM), tiga dari kiri; Encik Mohd Shahri Saripan (Pegawai Penyelaras Program Gegar Generasiku) dan empat dari kiri; Puan Che Rohana Che Omar (Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat RTM)...

( rtmkorporat.blogspot.com )

Jumaat, 1 Januari 2010

KONSERT AMBANG 2010 KUALA LUMPUR...

Berlangsung di Dataran Merdeka... Konsert Ambang 2010 Kuala Lumpur menemui penonton di TV2 dalam satu program sambutan ambang tahun baharu yang cukup meriah dibawakan oleh Kumpulan AmBank dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)... RTM dipilih sebagai penyiar program berkenaan untuk siaran secara langsung bermula tepat jam 10.30 malam...

Tetamu kenamaan yang hadir; YB Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin iaitu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bersama isteri dan YBhg Tan Sri Azman Hashim merupakan Pengerusi Kumpulan Ambank Malaysia.

Daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; YBhg Dato' Mohammed Mohd Daud iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) dan YBhg Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia.

Sebelum siaran langsung di TV2 pada jam 10.30 malam, penonton yang hadir memenuhi padang di Dataran Merdeka disajikan dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian artis dan persembahan kebudayaan. Malam tersebut terus dihangatkan oleh kemunculan Raja dan Ratu Rock negara, Amy Search dan Ella serta persembahan kumpulan Hujan dan Bunkface.

Kemuncak acara ialah kiraan detik 12.00 malam Tahun Baharu 2010 diikuti persembahan bunga api diiringi nyanyian lagu-lagu patriotik.

Salah seorang jurukamera RTM yang bertugas bagi mendapatkan shot terbaik dan memastikan siaran langsung berjalan lancar pada malam tersebut...

Wartawan dan penyampai berita TV RTM, Ivan Toh berada di Dataran Merdeka bagi membuat lintas langsung Konsert Ambang 2010 Kuala Lumpur...

Kemuncak pada malam tersebut iaitu kiraan detik 12.00 malam oleh tetamu kenamaan bersama-sama orang ramai yang hadir...

Antara ribuan lautan manusia yang membanjiri Dataran Merdeka Kuala Lumpur bagi sama-sama meraikan kedatangan Tahun Baharu 2010...

Kelihatan di kerusi tetamu yang hadir iaitu YBhg Dato' Mohammed Mohd Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (berbaju batik hitam) dan disebelahnya YBhg Datuk Ibrahim Yahaya, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia...

( rtmkorporat.blogspot.com )